Skip to content
May 24, 2011 / CS

>Halal ke X?

>

Bismillahirrahmanirrahim.
Hmmm…sejak akhir-akhir ini, banyak sungguh dakwaan tentang pelbagai produk makanan yang tidak sahih kehalalannya. CS tidak nafikan, kebanyakan produk yang dinamakan itu, memang kegemaran umat Islam dewasa ini. Terdetik juga di hati CS, apakah kredibiliti ‘HALAL’ oleh pihak yang dipertanggungjawabkan sudah boleh dipersoalkan? Sudah banyak kali isu ini tenggelam timbul. Bila ada yang mendakwa, maka pihak yang dituduh akan menyangkal dan mula mengemukakan ‘bukti’. Dan akhirnya isu itu senyap.
Ada rakan bertanyakan tentang isu ini. Tetapi pada pendapat CS secara peribadi tidak kira dalam apa sisi hidup kita, elakkan daripada perkara yang meragukan apatah lagi sumber makanan yang akan menjadi darah daging. Jangan cemari jasmani kita dengan unsur-unsur yang tidak sepatutnya kerana dibimbangi akan turut mempengaruhi rohani kita.
Oleh itu cadangan CS, pendekatan terbaik untuk menanganinya ialah dengan mula menyarung apron kita yang sudah lama tersidai.[ataupun dah lama beli, sampai plastik pun tak buka lagi! gurau je] CS pun bukanlah handal sangat di dapur. Tetapi memang suka [sangat..sangat suka] memasak. Lebih-lebih lagi sejak menjadi ahlia orang dan ‘beruniform’ ni, memang jarang sangat makan di luar. Lebih gemar memasak sendiri [sambil mendengar pujian suami..hihihi..Istighfar!].

Lagipula bila melihat persekitaran tempat jualan makanan tidak memenuhi ‘piawaian’ CS. Harga makanan pula kadangkala langsung tidak munasabah dengan perkhidmatan [mengambil pesanan, menghidang & kaunter bayaran] apatah lagi rasanya. Hmmm bukan menghina makanan tersebut. Subhanallah yang mencipta makanan yang pelbagai rasa. Tetapi sikap manusia, yang suka mengambil kesempatan dan sambalewa.
CS pernah mendengar seseorang memberitahu, katanya “makanan halal dihisab, makanan haram diazab”. Tidak pasti pula sumber kata-kata ini, tetapi bergetar juga hati CS bila mendengarnya. Apapun firman Allah sudah jelas, tepuk dada tanya iman:
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya”
~Surah Al Maidah: Ayat 4~

Leave a comment